Countdown Clock

09 July 2008

PANDUAN A-Z MENJAWAB SOALAN DAN MENCARI HARTA

PANDUAN A-Z MENJAWAB SOALAN DAN MENCARI HARTA

A (ANSWER) Jawapan.
Jawapan mestilah ditulis dengan kemas dan lengkap dengan menggunakan pena berdakwat. Sebagai contoh anda diberi panduan (clue) berkaitan dengan “raja” dan anda berjumpa dengan papan tanda “Elvis Enterprise”, anda mestilah menulis nama sepenuh dan bukannya hanya “Elvis”.

B (BRIEFING) Taklimat.
Beri perhatian semasa taklimat terutama mengenai acara dan pendekatan bentuk soalan. Sekiranya anda tidak faham, tanya.

C (CONCENTRATION) Penumpuan.
Adalah mustahil untuk suatu kumpulan berjaya jika ahlinya asyik bergurau senda dan merapu di dalam kereta. Sekiranya di laluan yang tiada soalan, penumpuan perlu kepada soalan seterusnya untuk membayangkan apakah jawapannya.

D (DOUBLING-BACK) Berpatah balik.
Kadang kala perlu berpatah balik untuk mencari jawapan. Harus diingat sekiranya anda berpatah balik walaupun hanya sekali, anda telah melalui tiga kali di laluan yang sama. Sekiranya anda dan kumpulan anda masih tidak mendapat jawapannya, eloklah meneruskan perjalanan. Secara amnya adalah suatu langkah yang betul anda bergerak sehingga ke laluan terakhir sebelum berpatah balik.

E (ENYCLOPEDIC DICTIONARIES) Kamus, pembendaharaan kata.
Bahan-bahan bacaan sebegini akan membantu anda semasa mencari jawapan. Seeloknya setiap seorang ahli kumpulan ditugaskan untuk satu tugasan atau penyelidikan. Adalah sia-sia jika bahan-bahan rujukan ini dibawa tetapi tiada yang menggunakannya.

F (FOOD) Bahan makanan.
Pencarian jawapan kadang-kala memakan masa. Dengan bekalan makanan yang cukup dan sesuai akan mengelakkan kumpulan anda dari membuang masa untuk kerap berhenti mencari makanan.

G (GROUNDWORK) Persediaan asas.
Adalah penting terutama kepada yang pertama kali menyertai acara sebegini untuk berbincang dan mengenal-pasti keperluan yang perlu dibawa. Sekiranya anda ke Pusat Membeli Belah, cuba bayangkan benda yang berkaitan dan mungkin akan dicari dalam bentuk harta.

H (HIDING) Sorok.
Kumpulan anda mungkin telah mendapat jawapan dan harta yang betul sedangkan kumpulan lain tidak. Berhati-hati dan sembunyikan jawapan serta harta, jika tidak kumpulan lain akan mendapat jawapan dan harta tanpa bersusah payah.

I (INTERACTION) Pengkongsian pendapat.
Kumpulan yang berjaya adalah yang sentiasa berkerjasama. Jika anda fikirkan anda mempunyai idea untuk mendapatkan jawapan atau harta, jangan takut untuk menyuarakannya. Tiada orang yang mengetahui segala-galanya, jadi kerap berbincang lagi bagus.

J (JUNCTION) Simpang.
Perlu diingatkan bukan semua simpang, lampu isyarat dan sebagainya dinyatakan dalam buku laluan (tulips), dan ianya mustahil untuk dimasukkan kesemuanya. Adalah penting kepada pemandu dan pembantu pembantu (navigator) untuk mengenalpasti simpang dan sebagainya yang betul seperti dinyatakan dalam buku laluan. Jika tidak pencarian anda akan sesat.

K (KNOWLEDEGE) Pengetahuan.
Satu kumpulan yang bagus terdiri dari ahlinya yang mempunyai latar belakang dan pengetahuan yang berbeza. Begitu juga dengan minat dan pengkhususan bidang yang tertentu.

L (LETTING GO) Keputusan menyerah.
Membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan setelah gagal mendapat jawapan atau harta tertentu adalah satu skil penting yang perlu dipelajari. Mungkin akan ujud percanggahan di antara ahli kumpulan sama ada untuk meneruskan perjalanan atau terus mencari jawapan. Adalah penting untuk dilantik seorang ketua kumpulan yang akan membuat keputusan apabila ujud suasana sebegini.

M (MANAGEMENT) Pengurusan.
Setiap kumpulan diperuntukan tempoh masa tertentu untuk mencari jawapan dan harta. Menghabiskan masa yang banyak pada permulaan laluan akan menyebabkan kesuntukan di akhir laluan. Setiap kumpulan mestilah pandai membahagikan masa masing-masing.

N (NOTING DOWN) Mencatatkan semuanya.
Kadang kala walaupun setiap ahli kumpulan telah bekerja keras tetapi tidak juga mendapat jawapan yang sesuai. Adalah disyorkan agar setiap ahli mencatatkan apa saja yang terlintas yang terlihat supaya boleh dipertimbangkan kelak semasa di laluan yang tiada soalan.

O (OBSERVATION) Pemerhatian.
Selain dari memahami soalan, pemerhatian juga penting untuk mendapat jawapan yang betul. Perhatikan sekeliling dan tidak semestinya hanya kepada papan tanda yang besar sahaja. Satu kebiasaan yang bagus jika diucapkan apa yang anda lihat kerana ada ahli kumpulan yang lain yang tidak lihat apa yang anda lihat mungkin boleh memberikan jawapannya.

P (PUNCTUALITY) Ketepatan masa.
Dengan menepati masa semasa melaporkan diri untuk bermula, kumpulan anda tidak akan terlepas apa-apa maklumat terakhir yang mungkin akan dimaklumkan oleh penganjur. Biasanya kumpulan yang lambat tidak bersedia selengkapnya. Ketepatan masa ini juga perlu semasa jamuan makan malam dan penyampaian hadiah dan di acara-acara rasmi yang lain.

Q (QUESTIONS) Soalan.
Baca setiap ayat dengan teliti. Setiap ayat boleh memberi panduan. Analisa soalan dan cuba memahaminya. Sekiranya anda masih tidak dapat menganalisa soalan, melihat jawapan di sekeliling anda mungkin boleh membantu.

R (RESOURCEFULNESS) Sumber maklumat.
Pertolongan boleh diperolehi tanpa mengira tempat. Kadang-kala pemilik kedai kopi boleh membantu atau budak kampung boleh menolong mengenalpasti bunga atau yang sebagainya yang betul untuk harta carian. Jangan malu untuk bertanya. Bagaimanapun perbincangan sesama kumpulan yang lain tidak dibenarkan.

S (SAFETY AND SIGNAL) Keselamatan dan lampu isyarat.
Keselamatan adalah keutamaan dalam setiap acara. Anda berada di jalan raya awam jadikan pastikan anda mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya. Pemandu mesti menumpukan pemanduannya. Pemandu mestilah memberikan isyarat sama ada untuk memperlahan kenderaannya, berhenti atau membelok.

T (TULIPS) Panduan laluan.
Tulips adalah panduan laluan yang perlu diikuti untuk setiap kumpulan memulakan acara dari tempat permulaan hingga ke penamat. Biasanya panduan untuk membaca tulips diberi semasa taklimat.

U (UTENSIL) Peralatan.
Peralatan asas untuk menyertai acara sebegini ialah selain dari pengelihatan yang baik dan akal yang panjang ialah alatan menulis, kertas dan papan pelapik untuk setiap ahli kumpulan selain dari pemandu. Bagaimanapun alatan seperti pengetip kertas, cecair pemadam dan sebagainya juga adalah berguna jika dibawa bersama.

V (VEHICLE) Kenderaan.
Tanggungjawab kumpulan masing-masing untuk memastikan kenderaan mereka naiki mempunyai cukai jalan dan insuran yang sah dan bagi yang memandu turut mempunyai lesen memandu yang sah dan belum tanpa tempohnya. Kenderaan yang bermasalah semasa acara akan menyebabkan banyak masa yang terbuang begitu sahaja dan boleh menyebabkan kumpulan yang terbabit tidak dapat meneruskan acara.

W (WORDPLAY) Permainan kata.
Kebanyakan soalan adalah hanya permainan kata oleh pembuat soalan. Ianya mungkin cantuman suku kata, tambahan atau pengurangan huruf dan sebagainya. Cuba kenalpasti setiap punca kata yang terdapat dalam soalan yang diberi.

W (WORDPLAY) Permainan kata.
Kebanyakan soalan adalah hanya permainan kata oleh pembuat soalan. Ianya mungkin cantuman suku kata, tambahan atau pengurangan huruf dan sebagainya. Cuba kenalpasti setiap punca kata yang terdapat dalam soalan yang diberi.

X (XEROX). Salinan.
Biasanya dalam setiap acara hanya satu set soalan yang diberi. Berkongsi kertas soalan yang sama mungkin boleh mengelirukan anda. Masalah ini boleh diselesaikan dengan membuat salinan photostat.

Y (YAWNING) Menguap.
Ini biasa dilihat jika acara bermula seawal pagi dan boleh menyebabkan hilang penumpuan semasa acara. Masuk tidur awal pada malam sebelum bermulanya acara.

Z (ZERO-TRIP) Reset kosong pada spedometer.
Ingat bukan semua simpang dinyatakan dalam buku laluan.? Dengan sentiasa mereset kosong pada spedometer sebaik sahaja sampai ke setiap tulips, anda akan mendapati kumpulan anda berada di laluan dan tempat soalan atau harta yang betul.

SOALAN DAN HARTA KARUN

SOALAN

Baca dengan teliti dan kaji soalan untuk mendapatkan jawapan. Jawapan mungkin secara terus tanpa selindung atau paling hampir (sekitar 50 meter) di dalam Buku Panduan. Contoh-contoh tulips adalah seperti Papan Tanda, Papan Kenyataan, Tanda Arah dan sebagainya. Anda boleh tulis di mana-mana kertas sebagai draf tetapi jawapan akhir mestilah ditulis dengan dakwat dalam Helaian Jawapan.

HARTA KARUN

Baca dengan teliti dan kaji soalan untuk mendapatkan harta karun. Harta boleh didapati sama ada dibeli di kedai berhampiran pada harga tidak melebihi RM 5.00 setiap satu atau secara percuma pada lokasi yang ditunjukan pada jarak tertentu (sekitar 50 meter) di dalam Buku Panduan atau boleh didapati di mana-mana dari Tempat Permulaan sehingga Tempat Penamat. Untuk harta percuma, sila pastikan anda mendapat keizinan dari pemilik harta sebagai contoh buah dalam kawasan kampung. Anda bebas untuk menggunakan kebijaksanaan anda untuk mendapatkan harta ini dan hendaklah menulis namanya yang betul di dalam Helaian Jawapan dan serahkannya serentak (atau sebagaimana yang dinyatakan dalam soalan). Tiada markah diberi jika tiada harta dicari, salah atau hilang. 20 markah untuk setiap harta yang diserahkan betul dan nama harta yang ditulis betul dalam Helaian Jawapan. SEMUA HARTA DAN HELAIAN JAWAPAN MESTILAH DIMASUKKAN KE DALAM KERTAS PLASTIK BERNOMBOR. Kertas plastik bernombor ini akan diserahkan kepada peserta di Tempat Permulaan. Jika tidak diberi, peserta dikehendaki menyediakannya sendiri.
CONTOH SOALAN HARTA KARUN

Tidak berwarna, tidak berbau, tiada rasa dan tidak bernama
Jawapan: AIR MINERAL JENAMA NONAME

- SELAMAT MEMBURU -

No comments: